Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



PUNCA PELARIAN ETNIK ROHINGYA






Kajian Kes: Pelarian Rohingya
Burma dan wilayahnya

Mengapa pelarian Rohingya berbeza dengan kebanyakkan etnik di Myanmar dari segi budaya, rupa, warna kulit mahupun agama? Mengapa juga pelarian Rohingya ini mempunyai raut wajah seakan-akan warga asing dari India, Bangladesh atau Pakistan?

Perkara ini akan dibincangkan dengan mengenal pasti asal-usul etnik ini. Walau bagaimanapun, perbincangan dalam kajian ini akan dimulakan dengan membicarakan mengenai sejarah negara Burma atau Myanmar secara umum sebelum memfokus kepada pelarian Rohingya yang berasal dari sana.

Negara Burma dahulu tidak seperti Burma yang wujud pada hari ini kerana ia berbeza dari segi kedudukan geografi dan entografinya.

Kerajaan yang pertama yang dipercayai wujud adalah kerajaan Pagan (1044–1287) dan selepas itu muncul pula kerajaan-kerajaan beraja yang kecil (1287-1531) yang menjalankan pemerintahan di kawasan masing-masing.

Kemudian (1531-1752) muncul kerajaan atau Wangsa Taungoo yang bermula dari sebuah perkampungan kecil kepada sebuah kerajaan yang hampir menguasai keseluruhan Burma.

Selepas jatuhnya Wangsa Taungoo, wujud pula Wangsa Konbaung (1752-1885) yang berjaya menyatukan Burma di bawah satu wangsa selepas berjaya mengalahkan Kerajaan Mon di Pegu.

Hasilnya, kawasan taklukan Wangsa Konbaung adalah kesinambungan kerajaan Burma yang ada pada hari ini.

Pada tahun 1824 hingga 1886, selepas tiga kali berperang Burma terpaksa menyerahkan kekuasaanya pada penjajah British.

1 Januari 1886, secara rasminya Burma menjadi sebahagian empayar British-India. Pada awal tahun 1942 hingga Mei 1945, Burma ditakluk oleh Jepun.

Selepas tentera Jepun berundur dari Burma, British kembali menguasai bekas tanah jajahannya itu sekali lagi walaupun mendapat tentangan nasionalis tempatan ketika itu.

Pada 4 Januari 1948, Burma secara rasminya menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Burma kini diperintah oleh anak tempatan bernama U Nu yang mengamalkan dasar kerajaan awam yang liberal.
Namun pada 2 Mac 1962, Jeneral Ne Win telah melancarkan gerakan merampas kuasa dan mewujudkan sebuah kerajaan sosialis yang bersifat kuku besi atau autoritarian.

U Nu adalah seorang tokoh nasionalis dan tokoh politik yang terkemuka di Burma abad ke-20.

Beliau adalah Perdana Menteri pertama Burma di bawah peruntukan-peruntukan Perlembagaan 1947 Kesatuan Myanmar, mulai 4 Januari 1948 hingga 12 Jun 1956, sekali lagi dari 28 Februari 1957 hingga 28 Oktober 1958, dan akhirnya dari 4 April 1960 hingga 2 Mac 1962 sebelum kuasa pemerintahannya dirampas junta tentera.

Meninggal dunia pada 14 Februari 1995 di Yangon ketika berumur 87 tahun.

Negara Burma terdiri daripada tujuh negeri kecil bersempena dengan nama tujuh etnik minoriti iaitu Shan, Chin, Kachin, Mon, Arakan atau Rakhine, Kayah dan Kayin serta tujuh wilayah yang majoritinya didiami oleh etnik Bamar yang merupakan etnik majoriti di Burma.

Kedatangan Islam

Majoriti etnik Rohingya tinggal di bahagian utara negeri Arakan atau Rakhine yang terletak di Barat Burma.

Negeri ini juga bersempadan dengan negara Bangladesh. Berdasarkan sejarah, etnik Rohingya adalah beragama Islam disebabkan berlakunya aktiviti migrasi seperti perdagangan oleh sejak abad ke 9 oleh pedagang Arab yang membawa agama Islam ke Arakan.

Rohingya merupakan susur galur daripada percampuran penduduk tempatan menerusi perkahwinan dengan penduduk Muslim dari Afghanistan, Parsi, Turki, Semenanjung Arab dan Bengal.

Bahasa yang dipertuturkan dinamakan Bahasa Rohingya yang mempunyai persamaan dengan Bahasa Bengali yang digunakan oleh penduduk di Chittagong, sebuah wilayah di Bangladesh.

Walau bagaimanapun bahasa ini adalah campuran daripada pelbagai bahasa seperti Bahasa Urdu, Hindi, Arab dan Bahasa Bamar yang dipertuturkan oleh masyarakat Myanmar majoritinya, manakala bentuk tulisannya adalah terdiri daripada huruf-huruf dalam Bahasa Arab yang sama seperti masyarakat Melayu suatu ketika dahulu sebelum wujudnya tulisan rumi.

Mengikut sejarah, pada mulanya Rakhine merupakan suatu wilayah diperintah berasingan dengan wilayah dan negeri lain di Myanmar serta merupakan sebuah negara yang berdaulat.

Sehingga pertengahan abad ke-17, Rakhine dipengaruhi oleh perkembangan politik di benua kecil India.

Kesan daripada jatuh naiknya kuasa Maharaja Mughal di Delhi, Rakhine berjaya mendapatkan Chittagong dan kawasan sekitarnya menjadi sebahagian daripada negara Rakhine.

Tetapi disebabkan berlakunya pergolakan dalaman dalam kerajaan ini menyebabkan Rakhine telah jatuh ke tangan Raja Bodawpaya, Raja Myanmar ketika itu lalu menjadikan negara ini sebahagian daripada wilayah di Myanmar pada tahun 1784.

Arakan merupakan nama lama bagi negeri itu. Tetapi semenjak tahun 1989, ianya telah ditukarkan kepada Rakhine oleh kerajaan junta.

Begitu juga dengan nama Burma telah ditukarkan kepada Myanmar pada tahun yang sama dan selepas ini segala perbincangan dalam kajian ini akan menggunakan nama terbaru bagi negeri Rakhine dan negara Myanmar.

Walaupun kajian Abu Talib Ahmad, seorang Profesor Sejarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia mengatakan Islam sudah wujud sekitar abad ke-9 lagi di Arakan atau Rakhine, namun beliau juga mengatakan bahawa pada tahun 1430, Narameikhla iaitu seorang raja Arakan ketika itu telah berjaya meminta bantuan pahlawan-pahlawan Islam berkemungkinan dari Benggala untuk menentang pencerobohan ke atas negaranya.

Melalui kemasukan mereka ke Arakan maka bermulalah pengaruh politik Islam di sana.

Raja Narameikhla telah membina sebuah masjid di Mrauk-U (Mrohaung) yang merupakan sebuah bandar lama dan kaya dengan legenda serta peninggalan sejarah.

Mrauk-U juga dikenali sebagai pusat pemerintahan Raja Narameikhla yang terletak di kawasan tanah pamah antara Sungai Lemro dan Sungai Kaladan.

Bandar terus menjadi kebanggaan bangsa Arakan sehingga abad ke-18. Sebelum ini penduduk Arakan bukan beragama Islam.

Namun disebabkan kedatangan Islam yang dibawa oleh pedagang Arab yang berlabuh di pelabuhan Arakan sebelum ke Negara China menyebabkan Islam berkembang di Arakan.

Kini di Arakan terdapat dua golongan yang menjadi majoriti di sana iaitu etnik Islam Rohingya dan etnik Buddha Arakan serta terdapat kelompok minoriti lain yang mengamalkan agama masing-masing seperti Hindu, Kristian dan Animisme.

Semasa era penjajahan British (1824-1948), telah berlaku aktiviti migrasi secara besar-besaran di mana British telah membawa masuk ramai buruh asing dari China dan India, tidak ketinggalan juga masyarakat di wilayah Chittagong, Bangladesh yang majoritinya beragama Islam ke Rakhine disebabkan kedudukan geografinya yang hampir dengan Rakhine serta peluang pekerjaan yang disediakan oleh pihak British.

Kesannya jumlah populasi ketika itu dianggarkan kira-kira tiga juta orang. Di antara itu kira-kira 700,000 hingga 1.5 juta adalah orang Rohingya, selebihnya adalah populasi yang dipelopori oleh Buddha Rakhine yang berpopulasi besar, Islam Rakhine dan etnik minoriti yang lain seperti Mro, Daignet, Kamein, Thet dan Chin.

Kira-kira 800,000 atau 80% orang Rohingya tinggal di bandar-bandar Utara Rakhine seperti Maungdaw, Daignet dan Rethadaung.




Orang Rohingya menjadi pelarian adalah disebabkan faktor perlembagaan yang sering dipinda dan faktor pemerintahan yang selalu bertukar ganti.

Bermula dengan Akta Warga Asing 1864 sehingga Undang-undang Kewarganegaraan Myanmar 1982 yang terkini, Myanmar tidak mempunyai peruntukan undang-undang yang jelas bagi orang Rohingya yang berada dalam situasi ‘Keadaan Tidak Berkerakyatan’ (KTB).

Akta Kewarganegaraan Kesatuan 1948 yang digubal oleh British, juga menidakkan hak orang Rohingya untuk menjadi sebahagian warganegara Myanmar dengan mudah.

Walau bagaimanapun, dalam akta ini terdapat sedikit ruang yang memungkinkan orang Rohingya menjadi warganegara Myanmar di bawah pemerintahan British ketika itu.

Semenjak Myanmar diperintah oleh rejim tentera yang merampas kuasa pemerintahan sivil U Nu pada tahun 1962, ia boleh dikatakan bermulanya bibit penafian secara keras mengenai kewarganegaraan orang Rohingya di Myanmar.

Ketika Myanmar di bawah pemerintahan Jeneral Ne Win sebagai ketua rejim, orang Rohingya dilabelkan sebagai PATI kerana dikatakan golongan ini telah dibawa masuk oleh penjajah British suatu ketika dahulu walaupun rekod sejarah mengatakan orang Rohingya telah menetap di Arakan seawal tahun 1430 di bawah pemerintahan Raja Arakan ketika itu iaitu Narameikhla yang mempunyai kira-kira 30,000 orang tentera Muslim.

Kemuncaknya pada tahun 1974 perlembagaan baru telah dibentuk oleh kerajaan junta Myanmar dan Akta Immigresen 1974 di dalamnya telah menafikan secara jelas hak orang Rohingya sebagai warganegara Myanmar yang sah dan mereka dilabelkan sebagai PATI.

Justeru kesan daripada undang-undang yang digubal oleh rejim Myanmar telah disusuli oleh suatu operasi besar-besaran yang dinamakan Naga Min atau Raja Naga pada tahun 1977.

Operasi yang dianggap kejam ini telah memaksa orang Rohingya menjadi pelarian dan mereka secara beramai-ramai telah lari meninggalkan kampung halaman ke tempat yang difikirkan selamat dan dekat.
Dianggarkan kira-kira seramai 200,000 orang Rohingya telah lari beramai-ramai ke Bangladesh pada tahun 1978.

Setelah berada di sana selama 16 bulan, kebanyakkan orang Rohingya dipaksa pulang semula ke tempat asal mereka di Myanmar kesan daripada perjanjian dua hala oleh kerajaan Bangladesh dengan junta Myanmar.

Dalam tempoh tersebut, dianggarkan 10,000 orang mati yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak disebabkan kekurangan zat makanan dan penyakit berjangkit.

Walau bagaimanapun, gelombang kedua pelarian Rohingya ke Bangladesh seramai 250,000 orang telah berlaku sekitar pertengahan tahun 1991 hingga awal 1992 disebabkan berlakunya pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka di samping undang-undang Myanmar yang menjadikan mereka pendatang haram di bumi sendiri yang menyebabkan mereka dalam situasi KTB.

Undang-undang Kewarganegaraan Burma 1982 yang digubal dikatakan telah mengugat asas-asas dalam prinsip undang-undang antarabangsa yang menjadikan sesebuah bangsa berada dalam situasi KTB.

Undang-undang yang bersifat diskriminasi ini juga memaksa orang Rohingya mengemukakan bukti yang mereka telah menduduki Rakhine sebelum tahun 1823 lagi.

Rejim junta yang menggunakan gelaran The State Peace and Development Council (SPDC) telah menolak bangsa Rohingya sebagai salah satu etnik dalam masyarakat Myanmar berlandaskan kenyataan seperti berikut:

“In actual fact, although there are (135) national races living in Myanmar today, the so-called Rohingya people is not one of them. Historically, there has never been a ‘Rohingya’ race in Myanmar.

The very name Rohingya is a creation of a group of insurgents in the Rakhine State. Since the First Anglo-Myanmar War in 1824, people of Muslim Faith form the adjacent country illegally entered Myanmar Ngain-Ngan, particularly Rakhine State.

Being illegal immigrants they do not hold immigration papers like other national of the country.”

SPDC juga telah memberi respon kepada soalan yang diajukan oleh Jawatankuasa Hak ke atas Kanak-kanak Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu pada April 2004 berkaitan isu kewargangeraan orang Rohingya:

“The Governments renders full of equal treatment to these people, as with other races, in matters relating birth and death registration, education, health and social affairs. In the official records, they listed as Bengali racial group of the Bengali race and are recognized as permenant residents within Myanmar.”
Berlandaskan kenyataan di atas, tindakan ke atas kerajaan junta ke atas orang Rohingya di Rakhine ke atas hak mereka masih dipertikaikan dan sehingga ke hari ini, hak orang Rohingya untuk memilik taraf kewargarnegaraan seperti 135 etnik Myanmar yang lain masih belum menjadi kenyataan.

Masalah ini sememangnya mempengaruhi pelarian Myanmar yang tidak mahu pulang ke negara asal kerana bimbang akan berlakunya pencabulan hak asasi mereka sekiranya pulang ke sana.

Berikutnya akan dibincangkan pula mengenai cara pelarian Rohingya lari ke Malaysia dan faktor yang mendorongnya untuk menetap di Malaysia.




2 comments:

this world willnone so take the Rohingya Moeslim in east Indonesia

29 November 2016 at 12:14 comment-delete

this word willdone. so take the Rohingya Moeslim in the east Indonesia

29 November 2016 at 12:17 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ